4/22/2010

Peristiwa di Padang Karbala

Peristiwa di Padang Karbala adalah buku cerita kanak-kanak tulisan Wan Yusof Hassan, bekas pegawai penyelidik dan editor Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel ini adalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka di zaman belum munculnya ustaz-ustaz wahabi yang kembali dari Jordan dan Saudi. Saya masih ingat buku ini dibelikan oleh ayah saya, tuan Haji Musa bin Yahya sebagai upah kerana mendapat tempat ke sepuluh dalam kelas darjah dua pada tahun 1982. Saya membacanya dengan air mata bergenang dan bertanya 'Mengapa ada orang Islam berani dan sanggup membunuh cucu Nabi Muhammad saw setelah kewafatan baginda?'

"Saudaraku semua, jangan biarkan Baginda Husin minum air sungai itu. Halanglah dia. Kiranya dia dapat meminum air itu tiada siapa lagi yang dapat menentangnya."

Apabila didengar oleh askarnya dengan segera dipanahnya baginda. Baginda Husin yang dahaga dan letih itu tidak sempat mengelaknya. Anak panah itu akhirnya mengenai leher baginda. Segera dicabut oleh baginda anak panah itu dan dibuangkannya ke dalam sungai Furat.

Baginda memekup lukanya dengan tangan kiri sambil terus mengamuk. Tentera Baginda Yazid datang dengan ramainya mengerumuni baginda. Setengah daripada aksar itu takut untuk menentang baginda. Manakala setengahnya pula malu hingga mereka berpaling - tidak sanggup menatap wajah cucu Rasulullah. Ketika itu muncullah Simirlain menyeru rakan-rakannya agar segera memancung Baginda Husin. Akan tetapi semuanya merasai suatu macam ketakutan untuk menentang baginda.

"Bunuhlah baginda, kerana aku ada bersama-sama kamu. Apa yang telah kamu lakukan hanya memusuhinya saja. Kenapakah kamu tidak sanggup untuk membunuhnya?" kata Simirlain.

"Kamu pun apa kurangnya dari kami? Kita berjuang adalah untuk mencari kekayaan. Mencari pangkat dan darjat!" jawab mereka.

"Kamu semuanya tidak begitu percaya akan kebolehanku. Nanti aku tunjukkan padamu bahawa segala kata-kataku ini akan kukotakan."

Simirlain pun segera mendapatkan Baginda Husin. Apabila dilihat oleh Baginda, teringatlah Baginda akan sabda Rasulullah bahawa orang yang akan membunuhnya keadaan mukanya hitam dan teteknya seperti tetek anjing.

Dengan tidak bertangguh lagi Simirlain pun menikam Baginda Husin pada dadanya dan lehernya terus dipenggal. Syahidlah Baginda Husin pada 10 Muharam iaitu hari Jumaat.

No comments:

Post a Comment