2/12/2010

IKHLAS

IKHLAS
Ertinya Kebersihan Hati. Ia juga menjadi salah satu daripada rukun yang paling besar daripada segala kerja yang bersangkut paut dengan hati bagi segala jenis ibadat samada zahir ataupun batin adalah berpusing di sekitarnya. Ia juga sebagai hakim bagi menentukan amalan itu diterima ataupun tiada diterima.
Pernah suatu ketika Abu Zar r.a. bertanya kepada Rasullullah S.A.W. tentang ikhlas lalu beliau menjawab “sabarlah, nanti saya akan bertanya kepada Jibril a.s. apa itu ikhlas,” kemudian Jibril a.s. menjawab nanti dia akan bertanya kepada Mikail a.s. dahulu, lalu Jibril a.s. bertanya kepada Mikail a.s., maka Mikail a.s. menjawab pula nanti ia akan bertanya sendiri kepada Allah Ta`ala tentang perkara tersebut, lalu Mikail a.s. bertanya kepada Allah Ta`ala dan Allah Ta`ala berfirman dengan mafhumnya “ikhlas adalah satu rahsia daripada beberapa rahsiaku dan aku berikan kepada sesiapa yang aku mahu!”.
Maka dari sini tahulah kita bahawa ikhlas ini tiada dapat dicapai melainkan berbanyak-banyak berdoa kepada Allah Ta`ala dengan meminta supaya dikurniakan kepada kita di samping menunaikan syarat-syarat untuk mencapainya seperti melazimkan bersedekah dengan bersunyi-sunyi tiada di hadapan khalayak ramai, begitu juga dengan solat sunat dan lain-lain lagi. Selain dari itu, kita tiada beria-ia menjadi diri kita sebagai seorang yang ikhlas kerana ikhlas itu adalah kerja hati dan kalau ia adalah kerja hati, maka sudah tentu ia tiada dapat dibuat atau dipisahkan dengan secara zahir. Oleh itu, untuk mencapai maqam ikhlas, hendaklah kita meminta akan perto-longan dari Allah Ta`ala banyak-banyak serta melazimkan akan syarat-syaratnya.
Satu perkara yang menjadi pertentangan yang paling hebat sekali bagi ikhlas itu ialah riya’. Dia adalah sebesar-besar penyakit yang menggugurkan akan pahala amalan dan merosak binasakannya. Riya’ adalah kemahuan hati sese-orang itu kepada pangkat dan kebesaran disisi manusia dengan menggunakan akhirat seperti solat, bersedekah, mem-baca Al-Quran dan sebagainya atau berkehendakkan kepada kepujian manakala bersedekah pula hatinya berkehendakkan supaya ia dikatakan pemurah dan begitulah seterusnya. Oleh itu penyakit riya’ ini perlu diawasi secukupnya. Kalau tiada maka segala amalan akan menjadi sia-sia dan percuma di samping itu hati akan bertambah jauh dengan Allah Ta`ala.
Fudhail bin ‘Iyadh pernah berkata “beramal kerana manusia adalah syirik dan beramal kerananya juga adalah riya’. Sementara ikhlas pula ialah beramal ataupun tiada adalah semata-mata suruhan Allah Ta`ala dan perintah Allah Ta`ala dan hanya kerana Allah Ta`ala”.

No comments:

Post a Comment