2/27/2013

KALAM ZAT-AL-HAQ

KALAM ZAT-AL-HAQ Firman ALLAH TA’ALA : Artinya dan tidak ada bagi seorang manusia pun bahawa ALLAH berkata-kata dengannya melainkan dengan perantaraan wahyu atau di belakang tabir. (Asy-Syuura:51) ALLAH tidak pernah berkata-kata dengan manusia melainkan dengan jalan wahyu atau ilham, dan ilham itu suatu perasaan (bisikan) yang di tekankan dan yang di beri faham oleh ALLAH kepada seseorang baik di saat tidur mahu pun jaga. Bermula Quran telah di turunkan dan lagi akan di turunkan, maka yang sudah di turunkan sanya telah lalu dan yang lagi di turunkan itu berkekalan hingga hari kiamat iaitu Quran yang di turunkan atas penghulu kita Nabi Muhammad s.a.w dengan lidah Jibrail a.s telah lalu iaitu selesailah turunnya pada zaman Nabi kita Muhammad s.a.w, dan Quran yang di turunkan atas hati (Sir akal) segala aulia’Nya daripada barang yang di ilhamkan mereka itu akan Dia pada waktu jernih hati mereka itu dan di fahamkan maknanya apabila bersunyi dengan kekasih mereka itu (ALLAH S.W.T) iaitu berkekalan turunnya hingga hari kiamat…. Syeikh Abu Madyan r.a Maha Suci ALLAH daripada menyerupai sebarang suara dan Kalamnya tidak berhuruf dan tidak bersuara (LAISA KAMISTHLIHI SYAIUN). Sesungguhnya aku telah berdiri di hadapan ALLAH S.W.T tanpa batas dan juru-bahasa , dan aku kenal ALLAH dengan ALLAH, maka telah mendengar aku akan kalam ALLAH dengan tiada wasitah, dan di sanalah tempat muhadasah iaitu berkhabar – khabar dan munajat iaitu berbisik-bisik dan tempat berjinak-jinak hingga karamlah aku di dalam lautan uluhiyah, lagi tiada mempunyai mazhab dan mengenal aku akan diriku dan akan Tuhanku ALLAH AZZA WAJALLA….. Dan inilah satu risalah yang telah di bukakan bagiku pintu yang memberi faham di dalam sir akal ku daripada ALLAH AZZAWAJALLA: Dengan namaKu yang bersifat Ar-Rahman dan yang bersifat Ar-Rahim, Segala puji itu bagiku Tuhan pencipta seru sekalian alam. Bahawa sesungguhnya Aku ALLAH, tiada Tuhan yang di sembah dengan sebenar-benarnya melainkan Aku. Dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu hambaKu dan rasulKu yang Aku utuskan kepada sekalian makhlukKu. Akulah Zat yang wajibul - wujud pencipta sekalian alam. Akulah Zat yang Maha Tunggal, sediaKu tiada awal permulaan, kekalKu tiada akhir kesudahan. Aku Maha Hidup dan Aku berdiri sendiri , tiada sekutuKu sesuatu. Akulah Zat yang maha Esa, Maha kuasa dan Maha iradatKu di atas segala sesuatu. Akulah As-Shamad tempat tumpuan hajat sekalian makhlukKu. Aku tiada beranak dan tiada yang memperanakkan bagiKu. Aku Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu yang ghaib dan yang nyata, dan segala ilmu adalah ilmuKu. Aku Maha mendengar lagi Maha melihat akan tiap-tiap sesuatu. Akulah Zat yang berkata-kata, dan sifat kalamKu kekal adanya, dan bahawasanya Aku telah pun berkata-kata dan sedang berkata-kata dan lagi akan berkata-kata dengan para hamba pilihanKu selama-lamanya. Aku bukanlah roh dan roh itu bukanlah Aku, sesungguhnya roh itu ciptaanKu dan cermin tempat nyata wujudKu. Maha Suci Aku daripada menyamai sesuatu, Maha Suci Aku Tuhan yang Maha Besar, Maha Suci Aku Tuhan yang Maha Tinggi daripada sesuatu. Maha Suci Aku daripada pihak dan arah, Maha Suci Aku daripada berbentuk dan berupa yang kasar atau yang halus, Maha Suci Aku daripada di kandung dalam sesuatu atau di luar sesuatu , aku tiada bertempat di dalam ruang , dan aku tiada suara yang berbunyi dan berhuruf, dan tiada Aku cahaya dan tiada Aku kilauan, warna dan getaran. Maha Suci Aku daripada di sifatkan akan ZatKu, Maha Suci Aku daripada di batasiku oleh sesuatu. Maha Suci Aku daripada dapat di lihat oleh segala mata dan Maha Suci Aku daripada dapat di pandang oleh segala akal. Maha Suci Aku dan Maha Agung Aku daripada di capai oleh sesuatu, Maha Suci Aku, Maha Rahsia Aku yang tersembunyi sendiriKu. Maha Suci Aku dengan QahharKu yang tiada kuasa seseorang pun menolakkan segala tadbirKu dan tiada kuasa keluar daripada segala takdirKu, dan Aku berbuat apa yang Aku kehendaki, dan tiada sesuatu pun yang dapat menahanKu. Maha Suci Aku daripada di persoalkan , apakah ? di manakah? Mengapakah? Bilakah? Bagaimanakah? Dan sesungguhnya Aku tidak dapat di tanyai oleh sesuatu. Al-LatifKu ialah kelembutanKu, dan keelokkanKu, dan kehalusanKu dan keindahanKu, dan keluhuranKu, dan ketersembunyianKu di dalam tiap-tiap sesuatu. Dan tiada yang menjadikan manfaat dan mudarat, kurnia dan tegah, gerak dan diam, daya dan upaya melainkan Akulah yang zahir, dan tiada yang dapat membinasakan sesuatu melainkan Aku. Dan tiada yang memberi rezeki kepada tiap-tiap makhlukKu melainkan Aku. Ka’abah ialah rumahKu di bumi, dan Arasy ialah rumahKu di langit dan adapun rumah Ku yang hakiki itu ialah Sir hambaKu yang telah Aku sucikan ia daripada selainKu. Maha Suci Aku daripada berhubung dan bercerai dengan sesuatu, Maha Suci Aku daripada segala sifat kekurangan , dan Akulah Zat yang Maha Besar sifat kamalatKu yang tidak dapat di kira akan bilangannya. Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi, dan Aku suka bahawa Aku di kenali, maka Aku jadikan makhluk untuk mengenaliKu. Dan telah adalah Aku dan tiada sesuatu sertaKu, dan segala sesuatu binasa melainkan Aku, dan Aku sekarang seperti mana Aku dahulu jua, Maha Esa dengan ke- EsaanKu. Tiada Aku berkehendak kepada sesuatu dan berkehendak tiap-tiap sesuatu kepadaKu, dan Akulah yang menentukan qadar bagi tiap-tiap sesuatu dan telah selesailah segala iradat Ku, dan tiada perubahan bagi takdirKu, tiada pengubah terhadap hukumanKu, dan tiada hukum(undang-undang) melainkan hukum-hukumKu, Aku Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya tiada tuhan melainkan Aku yang Maha Esa, tiada sekutu bagiKu sesuatu, bagiKu semua kerajaan dan bagiKu segala kepujian , dan Aku di atas segala sesuatu amat berkuasa. Maka Akulah Zat yang di sembah di setiap zaman dan di setiap tempat. Akulah Zat yang awal tiada permulaan adaKu dan Akulah yang akhir tiada kesudahan wujudKu, dan Akulah yang zahir dan telah nyata kudratKu dan iradat Ku dan Akulah yang batin , ZatKu yang Maha Suci yang terselimut ghaib di dalam keghaiban mutlak selama-lamanya, dan tiada yang wujud dengan sebenar- benarnya di dalam sekalian alam ini melainkan wujudKu, Akulah Zat yang Maha Esa, Maha Tunggal, Maha Suci dan Maha Tinggi Aku, dan tiada sesuatu seumpama Aku(LAISA KAMISTLIHI SYAIUN WAHUWASSAMI’UL ALIM).Aku ALLAH Al-Khaliq,Maha Benarlah Aku Tuhan Yang Maha Agung.

1 comment:

  1. Assalamualaikum, maaf ada soalan yang ingin ditanya. Daripada mana ya, saudara mendapat risalah di atas?

    ReplyDelete